Lembah Bujang Pusat Tamadun Melayu Terawal

Artikel daripada akhbar kosmo bertarikh 17.07.2010 membuktikan bahawa tamadun Melayu yang terkubur mula ditemui. Penemuan ini menjadi bukti kegemilangan tamadun kerajaan Melayu yang cuba digelapkan oleh penjajah dan pihak tertentu dari dahulu hingga sekarang.
Berdasarkan penemuan-penemuan struktur berupa candi dan artifak-artifak pengkaji lepas telah mengukuhkan fakta bahawa Lembah Bujang pernah berfungsi sebagai pelabuhan atau tempat persinggahan kapal dagang.
BEBERAPA relau besi yang ditemui di tapak kilang peleburan besi dipercayai dibina seawal abad pertama Masihi.
BUKIT-BUKIT kecil di sekitar ladang kelapa sawit di Sungai Batu berhampiran kawasan Lembah Bujang, Kedah hanya satu pemandangan biasa. Terletak di tepi jalan utama Merbuk – Selinsing, ia hanyalah sebuah kawasan terpencil yang terletak kira-kira dua kilometer dari Sungai Merbuk.
Tanpa diketahui banyak pihak, sejak beberapa tahun lalu kawasan Sungai Batu menarik perhatian penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Bagi Pengarah PPAG, Profesor Madya Mokhtar Saidin yang mengetuai penyelidikan ini, penemuan awal candi di Lembah Bujang oleh pengkaji berbangsa Inggeris, James Low sekitar tahun 1840-an dahulu masih diselubungi pelbagai persoalan.
Walaupun ia telah menemukan bukti kemunculan sebuah tamadun awal sejarah penting sekitar abad ke-5 hingga 14 Masehi, tetapi jiwa arkeologi Mokhtar percaya tinggalan lebih besar belum digali.
Berdasarkan catatan sejarah, pakar-pakar arkeologi tempatan seperti beliau yakin tentang kegiatan perdagangan dan wujudnya tamadun awal manusia di sini.
DZULKIFLI (tengah) melihat runtuhan tapak ritual tinggalan tamadun Tahun 110 Masihi yang membongkar pelbagai sejarah menarik.


Misi arkeologi PPAG yang disokong sepenuhnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu dibawah seliaan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Datuk Profesor Zuraina Majid akhirnya berjaya merungkai jawapan.
Tarikh 9 Mei 2007 kekal diingati Mokhtar. Tinjauan lapangan ke atas 97 busut kecil di tapak Sungai Batu ini yang menimbulkan persoalan dijawab oleh hasil kaji selidik geofizik yang dilakukan. Kesan bonjolan dan bongkahan beberapa bata yang ditemui dari salah satu busut itu menyimpan khazanah arkeologi yang cukup hebat.
“Menerusi rakaman imej radar yang diperoleh kemudian, kita mengesan kandungan tanah di bawahnya adalah lumpur dan berkemungkinan ada industri menghasilkan bata di sini,” ujar Mokhtar ketika ditemui di lokasi ekskavasi itu baru-baru ini.
Kilang lebur besi
Katanya, PPAG USM diberi kepercayaan untuk melakukan kajian dan ekskavasi selepas timbul persoalan apakah fungi setiap struktur candi yang ditemui di Lembah Bujang hingga menyebabkan taburannya begitu padat dalam satu kawasan.
Pemetaan geofizik, pemetaan geografi dan pemetaan petak kemudian dilakukan sebelum bermulanya ekskavasi yang berjaya menemui tapak tamadun terawal di Asia Tenggara yang wujud pada awal abad ke-2 itu.
“Cukup memeranjatkan apabila Tapak 81A yang diekskavasi mendedahkan struktur binaan yang berupa lantai yang disusun selari arah utara, dengan bata yang bersaiz besar dan tebal sesuai sebagai lantai pelantar di tepi sungai.
“Statigrafi tapak tanah di kawasan ini pula mendapati tiga lapisan kandungan tanah berselut membuktikan sungai pernah berada di tapak itu pada suatu masa dulu,” ujarnya ghairah menjelaskan satu persatu penemuan terbaru tersebut.
Menurut beliau, kajian arkeologi di tapak SB1 dikembangkan dengan pembukaan tapak ekskavasi SB1C, SB1D dan SB1F bagi mengetahui secara lebih mendalam fungsi tapak kajian SB1B dengan kawasan sekitarnya.
Perkembangan ini katanya menyumbang kepada maklumat mengenai kehidupan masyarakat ketika itu.
“Tapak SB1E mempunyai keistimewaan yang tersendiri apabila terdapat satu lokasi yang mempunyai kawasan hitam dengan batu-bata, tuyere dan juga sisa besi. Kawasan ini berkemungkinan pernah berlaku aktiviti pembakaran pada masa dahulu.
“Sehingga kini, sebanyak 10,000 tuyere, iaitu alat bagi menghasilkan besi yang merupakan teknologi pada abad ke-2 yang diguna bagi mengepam angin di dalam relau untuk menghidupkan api,” katanya.
Malah, pengesahan pentarikhan telah dijalankan di beberapa makmal termasuklah di Beta Analytic Lab di Amerika Syarikat, Universiti Oxford, Universiti Washington dan Institut Sains Asas Korea menerusi kaedah Radio Karbon dan OSL (Optically Stimulated Luminescence).
Berita penemuan bersejarah itu kemudian menarik kunjungan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang kemudian melawat kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan penyelidik PPAG pada pertengahan Mac lalu.
Turut hadir ketika kunjungan berkenaan ialah Siti Zuraina dan Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak.
Rais yang kagum dengan penemuan itu menyifatkan ia memberikan perspektif baru terhadap sejarah ketamadunan negara kerana tamadun yang ditemui turut membuktikan bahawa kawasan Sungai Batu sebelum ini pernah menjadi lokasi perdagangan besi pada ketika itu.
“Berdasarkan penyelidikan yang diketuai oleh Mokhtar, kita turut menemui tapak peleburan besi cukup lengkap dengan artifak dan tinggalan-tinggalan lama.
“Berdasarkan saiz kawasan, kita percaya lokasi ini pernah menempatkan industri peleburan besi utama untuk tujuan eksport suatu ketika dahulu kerana tiada produk besi akhir ditemui.
“Malah, faktor geografi serta nama Sungai Besi sendiri menjadi asas kukuh. Ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai sumber warisan sejarah yang boleh dibanggakan dan pihak kementerian bercadang untuk melaporkan penemuan ini kepada Jemaah Menteri supaya tindakan yang terbaik dapat diambil bagi memelihara sumber warisan ini,” kata Rais.
Warisan Lembah Bujang
Lokasi strategik tapak warisan itu di tepi lebuh raya pantas menimbulkan idea agar tamadun 110 Tahun Masihi dipulihara dan dijadikan lokasi pelancongan baru.
Rais turut memberitahu, kementeriannya bercadang untuk mewartakan kawasan tersebut sebagai Taman Warisan Lembah Bujang agar aktiviti menguruskan kawasan seluas hampir tiga kilometer persegi itu dapat dijalankan dengan baik.
“Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi melihat keperluan fizikal termasuk proses pemilikan tanah dan penjagaan artifak bagi membolehkan warisan negara ini dipelihara dengan baik dan sempurna,” kata beliau.
Pasukan penyelidik USM yang memulakan ekskavasi pada awal Februari 2009 turut menemui tapak ritual yang dibangunkan pada tahun 110 Masihi dan dipercayai menjadi pusat kepada tamadun di Sungai Batu ini.
Selain itu, batu bersurat dengan tulisan bahasa Sanskrit Pallava yang berkisar kepada kepercayaan Buddha dan animisme serta pelbagai artifak seperti pisau dan manik turut dijumpai.
Tarikh tepat tulisan itu masih belum diketahui tetapi penyelidikan tidak menolak ia dihasilkan pada zaman awal Buddha.
Sementara itu, menurut Mokhtar sebanyak 10 daripada 97 tapak yang dikenal pasti telah diekskavasi dan pihaknya menjangkakan banyak lagi penemuan baru bakal diperlihatkan khususnya berhubung struktur kehidupan masyarakat dalam tamadun tersebut.
“Kita juga menemui dua tapak dipercayai bekas jeti di lokasi yang dipercayai dulunya anak sungai berdasarkan batu-batu dan artifak genting. Tapak jeti dianggarkan dibina pada abad ke-3,” jelas Mokhtar.
Penyelidikan itu dijalankan dengan suntikan dana berjumlah RM2.3 juta oleh pihak kementerian bagi membiayai segala proses kerja termasuk ekskavasi, penyediaan maklumat, data GIS, geofizik dan seni kreatif Lembah Bujang.
MOKHTAR menunjukkan gambar relau besi yang ditemui di tapak kilang peleburan besi Sungai Batu.
ORANG ramai melihat artifak batu-bata lumpur dan serpihan daripada tapak ritual tinggalan tamadun Tahun 110 Masihi yang dijumpai penyelidik arkeologi USM.
SALAH sebuah candi yang terdapat di Lembah Bujang.
KAKITANGAN Muzium Arkeologi Lembah Bujang menjalankan penyelidikan mendalam sejak tahun lalu.
TAPAK peleburan besi tinggalah tamadun Tahun 110 Masihi yang dijumpai penyelidik arkeologi USM di Sungai Batu.
Gambar-gambar tinggalan Tamadun Lembah Bujang
Candi Batu Pahat

ZAKI SALLEH zaki.salleh@kosmo.com.my

No comments: